
Bata merupakan bahan asas dalam setiap struktur rumah yang hendak dibina. Ia berfungsi memberikan kesan astetik untuk menyerlahkan lagi pandangan senibina bangunan dengan kesan tekstur-tekstur yang menarik, indah dan cantik.
Tetapi tahukah anda apakahperbezaan dan kelebihan-kelebihan bata? Antara bata yang sering menjadi rebutan di negara kita adalah Bata merah dan Bata simen. Jadi, jom kita lihat apakah perbezaan mengenai kedua-dua jenis bata ini.
BATA SIMEN
• Terdiri daripada campuran pasir, simen dan air.
• Kos lebih murah dan berpatutan. Harga purata di Terengganu adalah antara 18 sen hingga 22 sen per bata.
• Bentuknya yang sekata memudahkan kerja susunan dan saiznya juga adalah lebih besar. Ini dapat menjimatkan penggunaan simen lepaan atau simen plaster dan menjimatkan masa.
• Berbanding bata merah, rumah akan menjadi lebih panas sedikit. Namun ini dapat dikurangkan dengan adanya sistem pengudaraan rumah yang baik dan dilengkapi dengan aircond.
• Dinding akan menjadi lebih kuat kerana bata simen menggunakan bahan yang sama dengan simen plaster. Ini menghasilkan paduan yang lebih kuat.
BATA MERAH (TANAH LIAT)
• Terdiri daripada campuran tanah liat dan pasir yang dibakar.
• Kos lebih mahal berbanding bata simen. Harga purata di Terengganu adalah antara 40 sen hingga 45 sen per bata.
• Proses penyejukan selepas pembakaran menjadikan saiz bata tidak sekata. Ini menyebabkan lebih banyak penggunaan simen lepaan atau simen plaster dan mengambil masa yang lama.
• Rumah lebih sejuk berbanding bata simen.
• Bersifat “fire resistant” dan juga memberikan kesan visual yang damai dan menarik.